Kedudukan Jantung Dalam Badan
Jantung
adalah organ yang mempunyai ruang kosong, berbentuk kon, terletak diantara
peparu dan di belakang tulang rusuk. Terdapat beberapa bahagian penting seperti
yang ditunjukkan dalam gambarajah 1.
Gambarajah 1
[Nota - Gambarajah menunjukkan gambar pesakit ini menghadap anda, jadi tanda
kanan dan kiri nampak terbalik]
Bucu jantung menghala ke bawah dan ke sebelah kiri. Biasanya berukuran 5 inci
(12 cm) panjang, 3.5 inci lebar (8-9 cm) dan 2.5 inci (6 cm) tebal atau secara
ringkasnya sebesar tangan anda yang digenggam. Beratnya dalam 30-35 gram iaitu
merangkumi 0.5% berat anda.
Jantung mempunyai 3 lapisan. Lapisan paling dalam adalah endocardium.
Lapisan tengah pula dikenali sebagai myocardium dan lapisan yang paling
luar adalah pericardium.
Injap dan Ruang Dalam Jantung
Jantung terbahagi kepada 4 bahagian (lihat gambarajah 2):
- Atrium Kanan (AK)
- Ventrikel Kanan (VK)
- Atrium Kiri (AR)
- Ventrikel Kiri (VR)
Gambarajah 2
Setiap satu ruang mempunyai injap sehala yang menghalang aliran balik darah.
Apabila jantung mengecut, injap aka terbuka dan apabila jantung selesai
mengembang, injap akan tertutup untuk menghalang darah dari mengalir ke arah
yang bertentangan.
- Tricuspid valve - Injap Trikuspid.
- Pulmonary valve - Injap Pulmonari.
- Mitral valve - Injap Mitral (Bikuspid).
- Aortic valve - Injap Aorta.
Denyutan Jantung
Apabila jantung mengecut (sistol), ia mengepam darah keluar dari jantung.
Jantung mengecut dalam dua peringkat. Peringkat pertama, atrium kanan dan kiri
mengecut dengan serentak lantas mengisi darah ke dalam ventrikel kiri dan kanan.
Kemudian, kedua-dua ventrikel mengecut untuk mengepam darah keluar dari jantung.
Apabila jantung berehat (diastol), darah akan mengisi semula ruang dalam
jantung.
Bahagian kanan dan kiri jantung mempunyai fungsi yang berlainan.
Bahagian kanan mengumpul darah ternyahoksigen dari badan dan mengepamnya ke
jantung untuk memungut oksigen dan membuang karbon dioksida.
Bahagian kiri
pula mengambil darah beroksigen dari peparu dan mengepamnya ke seluruh badan
untuk sel mendapat oksigen secukupnya agar badan dapat berfungsi dengan sempurna.
Pengaliran Darah
Darah mengalir masuk ke jantung melalui bahagian kanan jantung menerusi dua vena
iaitu: Vena Kava Superior (VKS) dan Vena Kava Inferior (VKI)
(lihat gambarajah 3).
VKS mengambil darah dari bahagian atas badan. VKI
mengambil darah dari bahagian bawah badan. Darah yang melalui dua vena ini akan
masuk ke atrium kanan.
Apabila atrium kanan mengecut, darah akan melalui injap trikuspid
(4) dan masuk ke ventrikel kanan (5). Ventrikel kanan mengecut dan darah
dipam ke injap pulmonari (6) terus ke arteri pulmonari (7) dan
masuk ke dalam peparu untuk mengambil oksigen.
Gambarajah 3
Darah kemudiannya kembali ke jantung dari peparu melalui vena pulmonari
(8) dan masuk ke atrium kiri (9). Apabila atrium kiri mengecut, darah
mengalir melalui injap bikuspid (10) dan ke ventrikel kiri (11).
Ventrikel kiri adalah ruang yang paling penting kerana mengepam darah ke
injap aorta (12) dan terus ke aorta (13). Ventrikel kiri mempunyai
otot yang lebih tebal kerana perlu mengepam darah ke seluruh badan dan mempunyai
tekanan yang lebih tinggi dalam keseluruhan sistem peredaran darah.
Secara ringkasnya, peredaran darah adalah seperti berikut:
- Vena kava - Atrium kanan - Injap trikuspid - Ventrikel kanan - Injap bulan
sabit - Arteri Pulmonari - Peparu
Darah menyerap oksigen dari peparu, kemudian mengalir:
- Vena pulmonari - Atrium kiri - Injap bikuspid - Ventrikel kiri - Injap aorta -
aorta - badan
Sistem Elektrik
Pernahkah anda terfikir bagaimana jantung anda boleh berdegup? Macamana degupan
itu boleh berlaku secara automatik, tiap-tiap jam dan tiap-tiap hari?
Jawapan adalah kerana terdapat satu sel khas yang mempunyai keupayaan untuk
menghasilkan elektrik secara sendiri. Sel ini memisahkan partikel yang mempunyai
cas. Kemudian, sel ini secara spontan melepaskan cas ini ke sel-sel yang
berdekatan. Ini menghasilkan impuls elektrik lalu menyebabkan jantung mengecut.
Sel ini bekerja secara berterusan untuk menghasilkan degupan yang biasanya 72
kali seminit.
Nod Sinoarteri (SA node) ini menghasilkan degup
jantung secara normal. Ia terletak di atrium kanan. jantung juga mempunyai
gentian khas yang membawa arus elektrik dari nod sinoarteri ke seluruh jantung (lihat
gambarajah 4).
Gambarajah 4
Impul elektrik ini bergerak dari nod sinoarteri (1) ke atrium kiri dan kanan,
menyebabkan kedua-dua atrium ini mengecut. Proses ini mengambil masa 0.04 saat.
Selepas itu, impuls elektrik ini bergerak ke Nod Atrioventrikular (AV
node) (2) dan terus ke Bundle of His (3). Kemudian ia terbahagi kepada
cabang kiri dan kanan (4) dimana ia bergerak dengan pantas menuju ke gentian
Purkinje (5) lalu menyebabkan ventrikel kanan dan kiri mengecut.
Sila klik disini untuk melihat animasi degupan jantung.
Maklumat Menarik Mengenai Jantung
Apa yang menyebabkan degupan jantung anda mempunyai bunyi?
Apabila
doktor mengesan degupan jantung anda, bunyi lub-dub akan kedengaran. Bunyi yang
pertama (lub) adalah akibat pergerakan darah apabila melalui injap trikuspid dan
injap bikuspid semasa injap ini tertutup. Bunyi yang kedua (dub) adalah
disebabkan oleh pergerakan darah akibat penutupan injap bulan sabit dan injap
pulmonik.
Berapakah degupan jantung anda seminit?
Degupan jantung yang normal
adalah 72 kali seminit. Pada satu-satu hari, ia boleh berdegup sebanyak 100,000
kali. Dalam setahun, ia berdegup sebanyak 38 juta kali, dan apabila umur anda
mencapai 70 tahun, ia boleh berdegup sebanyak 2.5 billion kali.
Adakah degupan jantung anda akan berubah apabila anda semakin tua?
Degupan jantung memang berubah apabila anda meningkat tua. Ini adalah carta
untuk degupan jantung pada umur yang berlainan:
| Umur | Degupan |
| Baru lahir | 130 |
| 3 bulan | 140 |
| 6 bulan | 130 |
| 1 tahun | 120 |
| 2 tahun | 115 |
| 3 tahun | 100 |
| 4 tahun | 100 |
| 6 tahun | 100 |
| 8 tahun | 90 |
| 12 tahun | 85 |
| dewasa | 60 - 100 |
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai jantung dan tajuk berkaitan, sila klik pada
laman dibawah:
Dapatkan lebih maklumat di: